Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5,000 ke atas 13 penyokong PAS yang mengadakan tunjuk perasaan membantah pelucutan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan negeri Perak pada tahun 2009.
Mereka dituduh mengadakan tunjuk perasaan haram di hadapan Istana Iskandariah di Kuala Kangsar membantah perlantikan Datuk Zambry Kadir daripada UMNO sebagai Menteri Besar baru menggantikan Datuk Seri Nizar Jamaluddin daripada PAS.
Sehingga hari ini PAS dan pembangkang merujuk insiden itu sebagai rampasan kuasa atau kudeta yang dicetuskan apabila tiga wakil rakyat pembangkang lompat daripada Pakatan Rakyat untuk menyokong BN.
Susulan itu, BN mendapat majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri menggantikan Pakatan Rakyat yang menawan negeri itu pada pilihan raya umum tahun 2008.
Puluhan penyokong PAS dan PKR hadir di perkarangan mahkamah hari ini, menyebabkan suasana tegang selepas Hakim Norsalha Hamzah mengumumkan keputusannya.
Norsalha menolak permohonan pegambela untuk menangguhkan keputusan itu sehingga rayuan dibuat ke mahkamah yang lebih tinggi.
Sebaliknya beliau mengarahkan hukuman itu berkuat kuasa serta merta kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.
Norsalha menjatuhkan hukuman itu dibawah Kanun Keseksaan selepas mendapati peguam bela gagal untuk menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaraya.
Tigabelas orang yang dihukum itu dilaporkan antara segerombolan penyokong pembangkang yang membaringkan diri di jalan dan melontar batu serta botol air ke arah konvoi kereta yang memasuki Istana Iskandariah untuk majlis angkat sumpah Zambry.
Insiden itu dilihat sebagai cubaan nekad untuk menghina institusi di raja serta mencabar kuasa Sultan di bawah perlembagaan negara.
Pesuruhjaya PAS Perak Abu Bkar Hussain menggesa ahli parti menghormati keputusan mahkamah dan tidak bertindak mengikut perasaan.
“Kami akan berusaha bersama pasukan peguam bela kami untuk mengambil tindakan lanjut merayu terhadap keputusan dan hukuman mahkamah hari ini,” kata beliau.
Bagaimanapun nasihat itu tidak diendahkan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
“SAMM menyeru semua rakyat khususnya anak muda supaya bangkit dan lawan…. Ayuh turun ke penjara Tapah memberi solidariti kepada 13 saudara kita yang dianiaya oleh regim legasi penjajah’” kata pengerusinya Edy Nor Reduan. ~Antarapos