Dengan mengenakan bayaran tambahan RM50, pekerja pusat urut dan refleksologi di sebuah premis di Jalan Mohd Khalid di sini, sanggup menawarkan khidmat tambahan 'ringan-ringan' dan urutan 'ping pong'.
Dengan bayaran itu juga, wanita terbabit sanggup berbogel dan melakukan urutan badan ke badan kepada pelanggan.
Aktiviti tidak bermoral itu bagaimanapun berjaya dikesan Jabatan Imigresen Johor Bahru yang menyamar pelanggan dalam Op Bersepadu 6P di tiga pusat urut berasingan di lokasi berkenaan pada jam 5.30 petang, hari ini.
Hasilnya, 18 wanita warga asing membabitkan lapan Thailand dan 10 China berusia 20 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua operasi yang juga Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor Khairulanuar Abu Bakar berkata, serbuan dilakukan hasil aduan awam serta risikan.
Khairulanuar berkata, hasil pemeriksaan mendapati wanita terbabit memasuki negara ini sejak beberapa bulan lalu menggunakan pas lawatan sosial.
"Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Peraturan 11(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Peraturan 11 (7) (a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial," katanya.
Kesemua warga asing terbabit dibawa ke Depoh Imigresen Pekan Nanas, Pontian untuk urusan selanjutnya.