Quantcast
Channel: Penggempur Mutiara
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1400

Antara Demonstrasi Jalanan Dan Ajaran Islam

$
0
0

Akhir-akhir ini adegan dan slogan demonstrasi jalanan ke atas pemerintah sering sekali dilaungkan. Diberi nama pula sebagai sarana amar makruf nahi mungkar dan jihad. Maka, suara-suara kebencian dan protes ke atas pemerintah pun meluap-luap.

Sangat menyedihkan adalah apabila pelbagai aksi dan adegan demonstrasi ini kian menjadi fenomena masyarakat dalam negara kita.

Menurut Kamus Dewan, maksud demonstrasi dalam konteks ini merujuk kepada “Tunjuk perasaan dengan cara berkumpul beramai-ramai, berarak, dll. (Termasuk di dalamnya membuat kacau). Berdemonstrasi maksudnya menunjuk perasaan (kerana memprotes dll.” (Kamus Dewan, Edisi Keempat, m/s. 332 – Dewan Bahasa dan Pustaka)

Persoalannya, adakah demonstrasi merupakan salah satu sarana anjuran agama dalam menghadapi kesalahan dan keterlanjuran pemerintah? Apa hukum perlakuan demonstrasi di sisi agama? Dalam tulisan yang lalu, penulis telah bentangkan kaedah-kaedah yang syar’i dalam menegur dan memperbaiki keterlanjuran pemerintah, iaitu dengan cara nasihat, mendoakan mereka dengan kebaikan, bertemu dan berbincang dengannya, memperbanyakkan kesabaran, dan dengan tidak mengaibkan serta merendah-rendahkan kedudukannya. (Rujuk/klik artikel: Bagaimana Ahlus Sunnah wal-Jama’ah Menasihati Pemerintah)

Ringkasnya, begitulah kaedah-kaedah yang syar’i dalam bermuamalah terhadap pemerintah sama ada yang adil mahupun yang zalim, selagi mana mereka masih menzahirkan keislaman dan syi’ar solat.

Dalam masa yang sama, amalan syar’i ini menunjukkan betapa Islam itu adalah agama yang mengajak kepada perdamaian, mengajak kepada maslahah, membenci kekacauan, teratur, dan penuh ketenangan. Secara automatik, amalan demonstrasi dan protes ke atas pemerintah sewajarnya tidak berlaku di kalangan umat Islam jika ruh agama tersebut berjaya difahami dengan baik.

Sejarah Demonstrasi

Dalam sejarah Islam, awal tercetusnya demonstrasi adalah dari golongan pemberontak ketika pemerintahan ‘Utsman B. Affan radhiyallahu ‘anhu. Mazhab demonstrasi dan pemberontakan ketika itu dicetuskan oleh seorang tokoh Yahudi bernama ‘Abdullah B. Saba’ yang berpura-pura masuk Islam. Beliau menyusup masuk ke dalam masyarakat Islam bertujuan menyebarkan pelbagai fitnah dan syubhat menghasut rakyat membenci Khalifah ‘Utsman.

Tindakan ‘Abdullah B. Saba’ ini bertepatan dengan sikap permusuhan Yahudi terhadap umat Islam sebagaimana termaktub dalam al-Qur’an sendiri. Tidak akan senang mereka selagi mana Islam tidak dihancurkan.

Di antara tuduhan-tuduhan yang beliau lemparkan ke atas ‘Utsman ketika itu antaranya ‘Utsman ini bersifat kronisme, nepotisme, zalim, tidak memberi hak dengan adil, dan mendahului ‘Ali dalam hak kekhalifahan. Syubhat-syubhat dan fitnah yang beliau sebarkan tampak berjaya lantaran ramainya orang awam dan muallaf yang baru memeluk Islam yang masih belum mendalam keimanannya. Beliau turut menyemarakkan ideologi membela golongan tertindas dengan mengajak rakyat memprotes ‘Utsman B. ‘Affan.

Ramai rakyat termakan fitnah lalu bangkit membuat provokasi mengkritik ‘Utsman secara terbuka di sana sini. Sehingga muncullah revolusi rakyat mengakibatkan pemberontakan. Beberapa hari rumah ‘Utsman mereka kepung, akhirnya ‘Utsman pun mereka bunuh dalam peristiwa yang penuh tragis. Golongan pemberontak dan aktivis demonstrasi ketika itu menamakan tindakan mereka sebagai amar makruf nahi mungkar! Walhal ia adalah kebathilan berkedok agama.

Setelah peristiwa terbunuhnya ‘Utsman, fitnah tidak kunjung reda. Sebaliknya terus berkobar ketika zaman pemerintahan ‘Ali radhiyallahu ‘anhu dan seterusnya. Pemikiran ‘Abdullah B. Saba’ terus meracuni masyarakat sehingga muncul pula golongan Syi’ah dan Khawarij sekaligus. Awal kemunculan Syi’ah ketika itu berperanan mengajak masyarakat mendewakan ‘Ali, manakala golongan khawarij menjadi faktor melaga-lagakan masyarakat dengan pemerintah (khalifah ‘Ali B. Abu Thalib). Kaum khawarij juga bertindak melaga-lagakan para sahabat terutamanya di antara ‘Ali dengan Mu’awiyah, ‘Aisyah, Thalhah, dan az-Zubair.

Dua faktor inilah (Khawarij dan Syi’ah) antara yang bertanggungjawab mencetuskan peperangan Jamal dan Siffin mengakibatkan para sahabat bertembung sesama sendiri. Pertembungan tersebut adalah antara kejayaan besar faktor Syi’ah dan Khawarij dalam menimbulkan salah faham dan fitnah sesama para sahabat ketika itu. Dan kesannya terus dirasai sehingga hari ini.

Dari kelompok mereka inilah lahirnya gerakkan yang zahirnya menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, serta mencari keadilan untuk muslim yang dizalimi. Kesan dari perkara ini, wujudlah pemikiran-pemikiran yang sesat seperti pemikiran memuja manusia, mentaqdiskan tokoh, percaya tentang ghaibnya manusia, pemikiran yang menghina para sahabat, pemikiran bahawa al-Qur’an itu diselewengkan dan tidak sempurna serta sebagainya. Inilah doktrin yang terhasil dari ideologi ‘Abdullah B. Saba’ yang kini diwarisi oleh kaum Syi’ah Rafidhah dan Khawarij sepanjang zaman.

Di antara orang yang bertindak tegas memerangi mereka ketika awal kemunculannya adalah Khalifah ‘Ali radhiyallahu ‘anhu. Beliau memerangi Khawarij di Nahrawan. Sebahagian besar kaum Khawarij dihapuskan, sebahagian bertaubat, manakala sebahagian lagi ada yang melarikan diri meneruskan kelangsungan ideologi mereka.

Demikian juga dengan kaum Syi’ah. ‘Ali turut memerangi dan membakar mereka hidup-hidup kerana mereka beri’tiqad ‘Ali itu tuhan.

Demonstrasi Pasca Revolusi Iran

Pada era 1970an di Iran, gelombang demonstrasi dan revolusi bergema. Dicetuskan oleh kelompok Syi’ah Rafidhah hasil tinggalan ideologi ‘Abdullah B. Saba’. Dipandu dan disemarakkan oleh Khomeini. Melalui karya tulis dan hasil pemikirannya, masyarakat Iran bangkit menghidupkan semula doktrin aqidah penuh kontroversi lagi kufur, Wilayatul Faqih. Mereka berdemonstrasi dan memberontak dalam rangka menjatuhkan Shah Iran pada tahun 1978 atas alasan penindasan dan kezaliman sebagai topeng menghidupkan semula perjuangan aqidah Syi’ah imamiyyah. Demonstrasi ketika itu mengakibatkan pelbagai kerosakan dan ratusan nyawa terkorban. Shah Mohamad bersama-sama permaisurinya pula melarikan diri.

Aksi-aksi demonstrasi yang mereka lancarkan ini saling tak tumpah dengan aksi demonstrasi yang dicetuskan oleh ‘Abdullah B. Saba’ di zaman ‘Utsman. Bahkan demonstrasi mereka inilah sekarang menjadi inspirasi sekian banyak demonstrasi-demonstrasi lainnya di Timur Tengah, bahkan di dunia pada hari ini. Dalang di sebalik setiap demonstrasi mereka ini memang tidak lepas dari keterlibatan agen-agen Yahudi, CIA, dan Amerika.

Mungkin para pembaca boleh mengkaji siapa yang menjaga dan mengembalikan Khomeini ke Iran setelah beberapa waktu duduk di dalam buangan.

Di Malaysia pada hari ini, tidak kurang ramai yang turut terkesan dengan kejayaan revolusi Iran ala ‘Abdullah B. Saba’ ini terutamanya para aktivis Parti Islam Se-Malaysia. Malah Mat Sabu yang kini menjawat jawatan Naib Presiden PAS sendiri secara terbuka mengakui mendukung idea-idea revolusi Khomeini di Iran, bahkan turut mendukung idea-idea pemberontakan melalui wasilah kebangkitan suara rakyat. Beliau dalam banyak siri ucapan, ceramah, dan karya tulisnya turut mengajak masyarakat supaya mencontohi Iran dengan mengambil pedoman ideologi Khomeini termasuk fahaman sesat kesyi’ahannya.

Jika kita teliti dengan saksama, di antara tujuan sebenar di sebalik aksi demonstrasi Iran tadi adalah bagi menghidupkan semula aqidah Wilayatul Faqih yang telah lama disenyapkan. Dalam kepercayaan Wilayatul Faqih ini, golongan Syi’ah Rafidhah yang pada ketika itu dipandu oleh Khomeini mengajak rakyat membangunkan kepimpinan ulama sebagai galang ganti kehilangan Imam 12 mereka.

Dalam doktrin aqidah Syi’ah Rafidhah, masyarakat sepatutnya dipimpin oleh para imam yang maksum, iaitu Imam yang 12. Dalam kepercayaan mereka, imam yang terakhir iaitu imam ke-12 telah hilang (ghaib) sejak tahun 329H. Namun mereka mendakwa nanti sang imam akan kembali sebagai al-Mahdi.

Sementara menunggu kepulangan imam yang ghaib tersebut, kumpulan ulama dan fuqaha mereka perlu tampil mengambil-alih kekhalifahan sebagai wakil atau pengganti imam mereka yang ghaib.

Sebab itulah jika kita lihat apa yang diamalkan Iran hari ini setelah kejayaan revolusi 1979 dan penguasaan Khomeini, sistem pemerintahan Iran didirikan berasaskan kepimpinan ulama di bawah konsep fahaman Wilayatul Faqih sebagai dewan tertinggi pemerintahan.

Termasuk dalam kedudukan Wilayatul Faqih adalah dewan elit para ulama selaku penjawat kedudukan tertinggi, penasihat spiritual, dan penentu dasar di Iran, lebih tinggi daripada Presiden dan Parlimen. Ketika ini, pucuk pimpinan tertinggi dewan Wilayatul Faqih dipegang oleh Ali Khameini. Manakala sistem demokrasi yang wujud di Iran hari ini sedikit pun tidak memberi kesan pengaruh dalam pembentukan kerajaan.

Menurut mereka, sesiapa yang menolak konsep Wilayatul Faqih ini, maka dia murtad, kafir, dan kekal di neraka. Para ulama dan imam Syi’ah di sisi mereka adalah maksum termasuk Khomeini.

Konsep Wilayatul Faqih di sisi mereka sebenarnya adalah satu konsep yang menyama-tarafkan imam-imam Syi’ah dengan para nabi, bahkan sehingga lebih hebat dari para nabi, serta memiliki kuasa seperti tuhan! Ini jelas satu konsep yang kufur akbar! Konsep ini bertepatan dengan doktrin ‘Abdullah B. Saba’ yang mengajar masyarakat di zaman ‘Utsman supaya mendewakan, memaksumkan, dan mempertuhankan Saidina ‘Ali B. Abi Thalib.

Kesan dan Hasil Revolusi

Kebangkitan Syi’ah rafidhah berfahaman Imam 12 ini adalah khabar yang bakal menyemarakkan semula malapetaka permusuhan di antara Ahlus Sunnah dengan golongan sesat Syi’ah sejak zaman-berzaman. Perkara ini telah pun dan sedang berlaku sekarang.

Antara buktinya, ketika perang dan penguasaan Amerika ke atas Afghanistan, Syi’ah Iran inilah yang menyalurkan bantuan sekaligus menjadi faktor utama kemenangan Amerika di sana. Ini diakui sendiri oleh tokoh Syi’ah Muhamed ‘Ali Abtahi.

Kemudian ketika serangan Amerika ke atas Iraq menentang Saddam Hussein, Syi’ah Iran jugalah yang membuka laluan dan bantuan kepada Amerika. Hasilnya, tanah jajahan Iraq kini dikuasai oleh Syi’ah Iran manakala hasil buminya seperti minyak dibolot Amerika. Umat Islam di Iraq dan Afghanistan pula habis dibunuh dengan kejam hampir setiap hari. Ada yang disembelih, ada yang dipanaskan dalam ketuhar, ada yang dicampakkan ke dalam api, ada yang disiksa, ada yang dipenjara, ada yang dirogol, dan seumpamanya. Al-Qur’an dan agama Islam pula dihina. Demikianlah dahsyatnya fitnah kaum Syi’ah Rafidhah!

Hari ini kita mungkin melihat umat Islam (Ahlus Sunnah) bebas beribadah di negara-negara lain termasuk negara kafir Amerika, tetapi sama sekali tidak dan bukan di Iran, terutamanya Tehran! Bahkan masjid-masjid ahlus sunnah habis dihancurkan.

Ini bukan suatu yang menghairankan sebenarnya, kerana di sisi aqidah Syi’ah darah dan harta umat Islam (ahlus sunnah wal-jama’ah) adalah halal. Bagi mereka, para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam adalah kafir dan sesat secara umum. Oleh kerana itu, dalam karya-karya dan ucapan-ucapan mereka, para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in adalah orang yang sering mereka laknat dan caci. Perkara ini turut didedahkan dalam satu seminar berkaitan Syi’ah di al-Madinah International University (MEDIU) Shah Alam bertarikh 15 Mei 2011.

Demikianlah hasil sebuah demonstrasi sejak zaman awal Islam hingga hari ini. Ia tidak sedikitpun memberikan hasil, faedah dan maslahah ke atas umat Islam sama ada dari sudut agama mahupun tamadun. Bahkan ia menjadi senjata ampuh menghuru-harakan umat Islam melalui serangan tunjang-tunjang aqidah, pemikiran, dan emosi. Kerana dasar utama yang menghidupkan sesebuah demonstrasi itu sendiri adalah api kemarahan. Mengambil kesempatan di atas kejahilan masyarakat dengan memomokkan kesilapan dan kelemahan-kelemahan pihak pemerintah. Termasuk di dalamnya adalah penyebutan kelemahan pihak pemerintah yang sebahagian besarnya sengaja diada-adakan dan sebahagian lagi belum dapat dipastikan kesahihannya secara benar.

Baca Selanjutnya DI SINI

Viewing all articles
Browse latest Browse all 1400