Seorang pelajar politeknik maut digilis sebuah lori selepas mangsa tercampak dari motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah kenderaan di Kilometer 5.4 Jambatan Pulau Pinang hari ini.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Supritendan Wan Aziz Wan Husin berkata, pada kejadian pukul 3 petang itu mangsa, dipercayai gagal mengawal motosikalnya dan bergesel dengan sebuah Land Rover menyebabkan beliau terseret beberapa meter di atas jambatan itu.
Beliau kemudiannya tercampak ke tengah jalan sebelum digilis oleh sebuah lori dari arah belakang.
"Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Faraday, Bukit Dumbar, di sini selepas selesai mengikuti kuliahnya di Politeknik Seberang Perai," katanya ketika dihubungi.
Katanya, polis turut menemui kad pelajar, beberapa buah buku dan Baucer Buku 1Malaysia bernilai RM50 di dalam beg galas mangsa.
Beliau berkata, pelajar berkenaan, yang mengikuti pengajian diploma kejuruteraan mekanikal, meninggal dunia di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di kepala serta seluruh badan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat