Sikap terlalu takut untuk menghadapi kritikan menyebabkan umat Islam menjadi fanatik dalam tindak tanduk mereka. Fanatik bukan hanya diamalkan oleh golongan pelampau agama malah ia juga merupakan amalan kepada ahli-ahli politik yang terlalu rakus kepada kuasa dan kedudukan. Kerakusan dalam kekuasan dan kedudukan menyebabkan umat Islam buta melihat realiti kehidupan seharian mereka.
Dalam konteks negara Islam masa kini kebanyakan ahli-ahli politik lebih cenderung kepada perjuangan untuk merebut kuasa dan kedudukan bukan untuk menstabilkan kedudukan politik, ekonomi, dan kemasyarakatan.
Sikap fanatik golongan yang tamak ini boleh dilihat secara jelas oleh masyarakat apabila mereka berselisih sesama sendiri kerana berebut kekayaan negara. Sepatutnya ahli-ahli politik yang mempunyai sikap yang tamak sebegini perlu disingkir oleh pucuk pimpinan negara kerana mereka tidak menunaikan amanah kerajaan. Sikap dan mentaliti mereka yang terlalu tamak boleh menyebabkan rakyat menjadi resah dan gelisah kerana mereka terpinggir daripada pembangunan negara.
Sikap terlalu berlembut dengan ahli-ahli politik yang bertuhankan kebendaan dan pangkat bukan sahaja boleh menjatuhkan imej kerajaan, malah ia boleh menyebabkan kebencian dan kemarahan. Sepatutnya pucuk pimpinan negara perlu mengawasi setiap ahli-ahli politik yang dilantik secara sulit supaya tipu helah mereka tidak mengaburkan pandangannya mengenai keperibadian ahli-ahli politiknya.
Apabila ahli-ahli politik menyedari bahawa tindak tanduk mereka berada dalam pengawasan pihak berwibawa maka mereka akan menunjukkan sikap yang jujur dalam perkhidmatan sebagai wakil masyarakat. Mereka akan menjadi orang yang berani menghadapi kritikan dan cabaran daripada pihak tertentu kerana tidak ada sebarang rahsia berkaitan dengan kelemahan mereka. -SUMBER