GEORGE TOWN: Kemasukan pelaburan ke Pulau Pinang menjunam 73 peratus pada tahun lepas dengan mencatatkan jumlah RM2.47 bilion berbanding RM9.11 bilion yang direkodkan pada 2011, kata Naib Pengerusi Gerakan negeri Ong Thean Lye.
Beliau berkata prestasi itu amat membimbangkan kerana sejak lima tahun lepas, kerajaan negeri tidak ada perancangan untuk membawa Pulau Pinang ke tahap lebih baik.
Beliau memberitahu pemberita di sini Khamis, Pulau Pinang adalah antara lima negeri teratas dalam menarik pelaburan semasa di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) namun pada 2012, negeri ini berada di tangga keenam.
"Pada tahun 1972 semasa di bawah pimpinan BN, (mendiang) Tun Dr Lim Chong Eu berjaya menjadikan Pulau Pinang sebagai hub bagi sektor elektronik dan elektrik (E&E).
"Berikutnya pada zaman Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, industri E&E dibawa ke tahap baharu iaitu daripada pemasangan kepada reka bentuk dan mempromosikan segmen industri diod pemancar cahaya (LED), peranti perubatan dan automasi," katanya.
Ong berkata pelbagai program dan pelan digariskan semasa pentadbiran BN yang menggalakkan industri E&E daripada aktiviti nilai rendah kepada aktiviti nilai yang lebih tinggi supaya industri ini berdaya saing.
Katanya penurunan pelaburan turut menimbulkan kerisauan mengenai peluang pekerjaan yang juga menunjukkan penurunan daripada 21,618 peluang pekerjaan pada 2010 kepada 10,359 pada tahun lepas.
Beliau berkata pelaburan asing ke Pulau Pinang turut mencatatkan penurunan sejak tiga tahun lepas daripada RM10.45 bilion pada tahun 2010 kepada RM1.13 bilion pada tahun 2012.
"Sepanjang tempoh 2010-2012, pelaburan asing adalah sebanyak RM18.72 bilion dengan sebahagian besar daripada jumlah itu adalah untuk pelaburan semula oleh pelabur yang sedia ada untuk meluaskan operasi masing-masing," katanya.
Ong turut menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya memberi penjelasan mengenai kilang Bosch yang dikatakan akan melabur RM2.2 bilion bagi membina kilang pengeluaran panel solar di Batu Kawan di sini.
Katanya pelaburan asing ke Pulau Pinang sejak tiga tahun lepas adalah dari Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan Belanda, tetapi delegasi perdagangan dari negeri ini lebih tertumpu kepada Korea Selatan, Taiwan, China, Hong Kong dan Australia.
Ong berkata Korea Selatan hanya melabur RM1.82 juta pada 2010 dan tidak meneruskan pelaburan selepas itu sedangkan Ketua Menteri kerap mengunjungi negara itu atas urusan rasmi. -Antarapos