SHAH ALAM: Pengasas PKR Ng Lum Yong mendakwa isu presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Ismail tidak mendapat kerusi untuk bertanding berpunca daripada strategi timbalan beliau hendak mengambilalih kepimpinan PKR.
Ng berkata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebenarnya mempunyai cita-cita politiknya yang tersendiri untuk menggantikan Wan Azizah.
Menurutnya, perancangan Azmin itu mungkin berjaya kerana mengetahui Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan bertanding jawatan berkenaan, sama seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat yang hanya menjadi Mursyidul Am PAS.
"Azmin semenjak dua, tiga tahun sudah merancang untuk bertanding sebagai presiden di dalam Perhimpunan Pemilihan Keadilan yang akan datang.
"Oleh itu dia nak pastikan Wan Azizah bukan sebagai YB dan tempat dia akan selamat sekiranya bertanding sebagai presiden," kata beliau.
Azmin selaku Pengarah Pilihan Raya PKR, mengumumkan Wan Azizah tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.
Malah, beliau berkata Wan Azizah hanya diperlukan sebagai 'pancing' dalam menarik undi di kalangan kaum wanita.
Tindakan Azmin itu dilihat keterlaluan dan seperti tidak menghormati ketuanya.
"Tidak perlu dan tidak hormati presiden langsung, kerana ini kerja presiden, bukan timbalan (presiden). Takkan (BN) Tan Sri Muhyiddin umumkan Presiden Datuk Seri
Najib tak bertanding atau bertanding. (Ini) sudah bertindih.
"Saya nampak Azmin Ali buat kenyataan ini betul-betul hina presiden dan hina Wan Azizah sebagai wanita, kerana dia ingat (Azizah) buat kerja untuk tarik sokongan wanita saja? Padahal, sebaliknya dia mesti dapat tarik sokongan seluruh rakyat Malaysia."
Menurut Ng, apa yang dilakukan Azmin adalah pertama kali berlaku dalam sejarah politik Malaysia apabila timbalan presiden 'lebih sudu dari kuah' apabila menafikan hak Wan Azizah sebagai presiden parti.
Malah, beliau menggesa Wan Azizah tidak hanya berdiam diri dengan membiarkan pihak lain bersuara dengan lantang.
Wan Azizah perlu menyatakan pendiriannya atau letak jawatan jika tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai presiden, tambahnya. ~AntaraPos