Quantcast
Channel: Penggempur Mutiara
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1400

@NajibRazak ; Tangan Muzakarah Sentiasa Dihulur UMNO #PAU13

$
0
0

Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menghulurkan tangan persahabatan kepada PAS dan parti politik lain namun menegaskan Umno tidak perlu “apologetik” dalam memperjuangkan nasib orang Melayu, walaupun dicemuh pembangkang.

“Walau kita dicemuh, walau kita disindir, walau Umno dibentak-bentak namun parti ini tidak akan pernah jemu untuk menghulurkan salam perpaduan dengan mana-mana parti politik demi, melihat umat Islam kembali bersatu,” kata beliau di Perhimpunan Agung Umno di sini hari ini.

Dalam pada itu, Umno, tegasnya, tidak akan "bersegan silu lagi dalam terus memperjuangkan nasib bangsa," dan "menggesa akar umbi parti untuk terus yakin bahawa kita berada di landasan yang benar dan betul.”

Umno sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dengan PAS demi perpaduan Islam namun parti pembangkang itu mengambil pendirian yang berdolak dalih manakala kenyataan-kenyataan pemimpinnya sering bercanggah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS sedia bermuzakarah dengan Umno namun timbalannya Mohamad Sabu berkata Umno hanya mencari untung politik selepas kemenangan suram pada PRU 13.

Dalam ucapannya, Najib mengingatkan bahawa Umno berjaya menambah kerusi parlimen serta menawan Kedah daripada PAS di samping memperbaiki prestasinya di Perak yang sebelum ini di bawah pimpinan pembangkang.

“Umno sebagai parti tonggak, telah berjaya menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88.

"Ini membuktikan, walau apapun rintangan, sekali apapun halangan, kepimpinan transformatif Umno, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional, terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, untuk tempoh 5 tahun yang akan datang,” kata Najib.

Najib berkata biar apa pun respon PAS kepada tawaran Umno untuk bermuzakarah, parti itu akan terus mara untuk membela bumiputera di samping terus membantu kaum-kaum yang lain.

"Kita tidak berhimpun untuk suka-suka. Jangan sesekali kita lupa bahawa di perhimpunan-perhimpunan agung Umno inilah agenda-agenda umat Melayu dan Bumiputera dijulang,” kata beliau. 

”Di sinilah UiTM dimartabatkan, di sinilah nasib penjawat awam dibela, di sinilah Raja-Raja Melayu terus dipermuliakan, di sinilah institusi-institusi Melayu dan Bumiputera diperjuangkan.

“Di sinilah syiar agama Islam dipertinggikan, dan di perhimpunan inilah juga orang Melayu menghitung masa depan keturunan mereka,” kata beliau.

Najib mengibaratkan Umno sebagai besi kersani yang diasah menjadi waja dalam memperjuangkan hak dan kepentingan bangsanya.

“Di manakah suka duka bangsa Melayu nak diperbicarakan? Di manalah orang Melayu nak mencurah rasa. Di manalah lagi orang-orang Melayu ingin merungkai kesumat dan menyulam dendam tentang nasib bangsa.

“Di manalah lagi keluh kesah orang Melayu hendak dizahirkan, jika tidak di perhimpunan ini. Jika tidak kepada parti ini,” kata beliau penuh dalam emosi.

“Kepada Allah kita mohon dipersimpangkan, kepada Allah kita pinta diperjauhkan, JANGANLAH MELAYU HILANG DI DUNIA!,” kata Najib mengakhiri ucapanya itu kepada sorakan hampir tiga ribu perwakilan. ~ANTARAPOS

Viewing all articles
Browse latest Browse all 1400