Tanda tanya berhubung skandal antara pelakon Adi Putra dengan seorang wanita berstatus isteri orang terjawab apabila siasatan kes itu memutuskan tiada tindakan lanjut perlu diambil terhadap pelakon itu.
Perkara itu didedahkan oleh Adi dalam sidang akhbar khas di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur malam ini.
Turut hadir isteri Adi, Aida Yusof dan barisan peguam pelakon itu, Mohd Daud Ismail, Zamri Idrus dan Muhamad Abd Kadir.
Adi memberitahu, pihaknya menerima keputusan hasil siasatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu pada 2 Disember lalu.
"Selepas siasatan selesai, keputusan rasmi hasil siasatan kes ini adalah diklasifikasikan sebagai no further action (NFA) atau tiada tindakan selanjutnya.
"Ini jelas bermaksud tiada apa-apa pertuduhan ke atas diri saya," katanya ketika membaca kenyataan akhbar
Pelakon kelahiran Singapura itu menjelaskan, semasa siasatan dijalankan, dia telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada PDRM.
Tambahnya, sepanjang proses siasatan itu juga, dia sentiasa mendapatkan nasihat daripada barisan peguam agar tidak membuat sebarang kenyataan atau komen yang boleh mengganggu siasatan sehingga keputusan rasmi diperolehi.
"Oleh demikian, sebarang kenyataan atau artikel bertulis yang bertujuan mengaitkan saya dengan pertuduhan-pertuduhan yang dibuat oleh pengadu dengan niat menjatuhkan maruah dan reputasi saya adalah salah di sisi undang-undang.
"Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang menggunakan media cetak atau elektronik semata-mata untuk merosakkan kerjaya dan nama baik saya," tegasnya.
Dengan itu jelas Adi, aduan yang dikaitkan dengan dirinya telah selesai dan berharap tidak ada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan perkara itu lagi serta mengaitkan isu itu dengan dirinya pada masa akan datang.
Adi melahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut sambil menyifatkan itu semua hasil berkat doanya, ibu serta kekuatan dan kesabaran tinggi yang dimiliki Aida.
"Saya pegang kata-kata ibu saya iaitu orang yang teraniaya adalah orang yang selamat," katanya.
Ditanya tentang hasrat pihak pengadu yang akan mengadakan sidang akhbar bersama suami dan peguam mereka pada esok petang, Adi berkata, dia tidak tahu menahu tentang hal itu.
"Saya serahkan kepada peguam dan lihat apa yang akan berlaku pada sidang akhbar esok.
"Sebenarnya saya sedia memaafkan mana-mana pihak agar kes ini dapat diselesaikan dengan baik," ujarnya.
Pada 5 September lalu, Adi dikatakan saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan seorang wanita berusia 30 tahun selepas seminggu berkenalan menerusi laman sosial.
Hubungan tersebut telah dikesan oleh suami wanita berkenaan lalu melaporkannya kepada polis. - MalaysiaGazette
Follow us: @MalaysiaGazette on Twitter | MalaysiaGazette on Facebook