Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar mencabar pemimpin Pakatan Rakyat supaya perlu mengisytiharkan kemenangan mereka di Selangor sebagai tidak sah sebelum mengambil keputusan untuk menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya,
Menurut Noh, tidak relevan pentadbiran Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu menimbulkan tanda tanya berhubung tujuan sebenar penubuhan suruhanjaya berkenaan.
"Sebab apa nak tubuh suruhanjaya, kalau nak tubuh suruhanjaya dia kena 'declare' keputusan pilihan raya di Selangor ini tidak sah barulah dia boleh siasat.
"Kalau kata nak buat suruhanjaya, tak puas hati dengan pilihan raya, bagi tahu pilihan raya Selangor ini tidak sah, banyak penipuan. Kemenangan kerajaan negeri adalah kerajaan yang palsu kerana SPR menipu dan sebab itu Selangor dimenangi oleh PKR," katanya ketika ditemui di Bangunan Umno Selangor di sini, hari ini.
Beliau seterusnya memberikan contoh berhubung penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor atau singkatannya Selcat, yang katanya, gagal menunjukkan fungsi dan keberkesanannya dengan baik.
"Saya tengok kerajaan negeri Selangor ini dia buat peraturan syok sendiri, dulu dia buat Selcat, apa jadi pada Selcat?
"Dia buat mahkamah, dia buat keputusan, lepas itu tak ada apa-apa. Habis masa, habis duit rakyat apabila keputusan-keputusan dibuat oleh mahkamah Selcat, apa tindakan yang diambil?
"Kerana dia bersaksi ikut lutut, sebab yang jadi chairman Speaker (sebelum ini, Datuk Teng Chang Kim) dan kini dia lantik Timbalan Speaker," kata beliau sinis.
Beliau turut menyatakan kekesalannya terhadap permainan politik kotor Pakatan sekaligus ia dilihat sebagai helah untuk menipu rakyat dan menutup segala kesilapan mereka bagi memastikan agenda tidak tergugat.
"Kerajaan negeri nak buang masa, nak tipu rakyat dan nak menghabiskan duit rakyat, sama juga seperti mereka mula-mula menang mereka tubuhkan Selcat dan apa yang berlaku?,"
"Kerajaan Pakatan ni dia tidak habis-habis nak berpolitik dan terus nak menipu rakyat soal keputusan pilihan raya yang lepas," katanya.
Hari ini Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu untuk menyatakan pendirian bahawa penyelewengan di dalam proses pilihan raya baru-baru ini merupakan kesalahan serius yang mampu merosakkan demokrasi negara.
Ia akan diuruskan oleh Timbalan Speaker DUN, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga ADUN Seri Setia. ~Antarapos